Pages

Sunday, March 2, 2014

Peranan, hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga


Peranan, hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga

Dalam topik ini anda akan mengetahui peranan, hak dan tanggungjawab khusus suami, isteri dan anak-anak yang merupakan komponen penting dalam institusi keluarga.

Kewajipan dan tanggungjawab suami

1. Suami menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Tempatkanlah mereka (isteri kamu) di mana kamu bertempat tinggal sekadar menurut kemampuanmu dan janganlah kamu mempersulitkan mereka supaya sempit kehidupan mereka.
(Surah al-Talaq: 6)
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Lelaki itu bertanggungjawab ke atas wanita dengan apa yang dilebihkan oleh Allah sebahagian mereka atas sebahagian dan dengan apa yang mereka nafkahkan daripada harta-harta mereka.
(Surah al-Nisa’: 34)
2. Suami memberi nafkah sekadar yang mampu
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Sejahat-jahat manusia ialah yang mempersempitkan nafkah keluarganya.
(HR. Thabarani)

Sabda Baginda lagi:
Dinar yang kamu nafkahkan ke jalan Allah. Dinar yang kamu belanjakan untuk membebaskan hamba. Dinar yang kamu belanjakan untuk orang miskin. Dan Dinar yang kamu belanjakan buat keperluan keluargamu. Maka yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan ke atas keluargamu itu.
(HR. Ahmad)
 3. Mendidik isteri berilmu bagi menunaikan kewajipan fardu ain
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap wanita.
(Surah al-Nisa’: 34)

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Nasihatilah oleh kamu semua terhadap wanita itu dengan cara yang baik kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.
(HR. Ibnu Majah dan Nasaee)
 4. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
 Wahai orang yang beriman tidak halal bagi kamu mewarisi wanita secara paksa dan tidaklah boleh kamu menghalangi mereka daripada berkahwin supaya dikurangkan mas kahwin kecuali sekiranya nyata mereka berbuat kekejian dan bergaullah dengan mereka secara yang baik maka sekiranya kamu membenci mereka pada suatu perkara mungkin Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak.
(Surah al-Nisa’: 19)